Antologi Bahtera Peradaban memuatkan khusus puisi karya para penyair Kelantan. Seramai 161 penyair dengan jumlah 507 buah puisi terkumpul dalam antologi ini. Para penyair ini adalah antara barisan penyair Kelantan dari dekad 1970-an sehingga kini.
Jumlah ini sekadar kira-kira satu perempat sahaja daripada sejumlah besar para penyair Kelantan yang pernah menyumbangkan budi kreativiti dan dimensi pemikiran mereka dalam dunia puisi di tanah air. Antologi ini adalah kenang-kenangan yang cukup mengharukan hati kami, justeru dengan penuh rendah diri dipersembahkan dan dipusakakan untuk khazanah kesusasteraan tanah air.