Menjadi seorang Norhisham Mustaffa bukanlah satu perkara yang mudah. Dengan menjadikan kerjaya sebagai penulis dan sasterawan sepanjang hayat hidupnya, pasti telah melalui pelbagai cabaran dan dugaan dalam mengharungi kehidupan. Norhisham Mustaffa sememangnya dilahirkan untuk menjadi penulis. Sepanjang lebih 50 tahun bergelumang dalam dunia sastera dan persuratan Melayu di engqra kita, ribuan karya daripada pelbagai genre telah dapat dihasilkan. Biarpun sosok tubuh ini sudah lagi tiada, namun karya-karya yang ditinggalkan pasti akan menjadi kenangan buat semua yang mengenali insan ini.
Naskhah ini diterbitkan khas sempena untuk mengenang seorang sasterawan Allahyarham Norhisham Mustaffa. Sebanyak 33 buah karya sajak yang telah disiarkan sepanjang era 1970-an dikumpulan dalam buku ini. Lebih menarik lagi, hampir 40 buah karya dalam pelbagai genre (puisi, cerpen, catatan kenangan) yang ditulis oleh keluarga, sahabat dan rakan-rakan terdekat Allahyarham turut dimuatkan dalam buku ini. Kesemua karya ini dihasilkan untuk mengingati dan menghargai seorang sasterawan yagn senantiasa dihormati keperibadiannya selama ini. Walaupun tidak akan ada lagi karya-karya Allahyarham selepas pemergiannya pada 23 November 2018, tetapi membaca kembali karya-karya yang telah ditinggalkan pasti akan memberikan kesan dan kenangan buat kita semua.