"Aku Maniam anak lelaki Arumugam. Panggil Mani sudahlah."
"Aku Edi. Maaf! Aku ingatkan kau ni Melayu." Edi menyambut huluran tangan Mani.
"Tak! Aku Cindian. Mak aku Cina, ayah aku India. Ramai orang ingat aku Melayu. Tapi, memang pun aku pandai cakap Melayu, tahu," kata Mani, tertawa memanjang.
"Aku pula Harjit Singh. Panggil Jit sajalah," kata budak yang berserban kecil di tengah kepalanya.
"Aku Bidi," kata budak Melayu yang mengenyitkan sebelah matanya kepada Edi semasa permainan sedang berlangsung tadi.
"Apa nama permainan yang kamu semua main tadi? Nampak macam sangat menarik." Jujur pertanyaan dari mulut Edi.
"La... kau tak tahu? Namanya konda-kondi. Kayu yang panjang tu konda. Yang pendek tu kondi," kata Jit.
"Tak apa, Edi. Kau budak bandar, kan? Tak pernah main konda-kondi?" kata Bidi.
Edi mengangguk-angguk.
"Okey. Mulai hari ini, bolehlah kita main macam-macam permainan bersama-sama, ya?" kata Bidi.
Maka, bermulalah sebuah persahabatan baharu di Kampung Harmoni.